PERIGI BUNIAN ?Perigi ini terletak di bahagian kanan kawasan Marina Beach Resort dan kedudukannya memang hampir dengan pantai. Terdapat pokok bakau dan juga pokok mengkuang di sekelilingnya. Dalam banyak-banyak perigi yang saya temui di pulau ini, saya dapati air di perigi ini yang paling jernih dan bersih. Ketika saya sampai ke perigi ini, terdapat beberapa pengunjung lain yang sedang melakukan upacara ‘yang saya tidak ketahui’ di perigi tersebut.
Menurut cerita orang tempatan, perigi ini digelar perigi bunian kerana nelayan yang sering berlindung di kawasan ini ketika cuaca buruk selalu terdengar suara sekumpulan wanita sedang bersuka-ria di perigi itu. Oleh kerana kedudukan perigi itu terletak dalam kawasan perkampungan orang bunian, maka ia didakwa sebagai perigi yang dikuasai orang bunian. Tidak jauh dari kawasan perigi ini pula terdapat sebuah tasik yang dipanggil tasik bunian. |
Sejak akhir-akhir ini, perigi bunian begitu popular di kalangan pengunjung Pulau Besar. Kebanyakan yang datang ke perigi ini dikatakan membawa hajat tertentu. Saya perhatikan, terdapat banyak bungkusan mentera yang dibalut dengan kain kuning yang telah digantung pada rimbunan pokok-pokok yang terdapat di sekeliling kawasan perigi ini. Perbuatan ini dipercayai dilakukan oleh mereka yang beragama Hindu.
|