Ada pelbagai versi cerita yang dikaitkan dengan perigi ini. Salah satunya mengisahkan seorang nenek tua yang menjadikan tempayan sebagai tempat simpanan harta yang diperolehi nenek itu melalui kerjayanya sebagai bidan dan peniaga ubatan herba di pulau itu.
Pada suatu hari, tempayan itu ingin dicuri dan ketika tempayan itu ingin dilarikan, tiba-tiba tempayan itu pecah. Serta-merta harta yang tersimpan dalam tempayan itu bertukar menjadi air dan bekas tempayan itu tertanam sehingga menjadi seperti sebuah perigi. Sehingga kini, ramai yang cuba menyeluk tangan mereka ke dalam perigi itu. Keadaannya memang seperti menyeluk sebuah tempayan. Dahulunya, perigi ini terletak benar-benar di kaki air laut dan rasa airnya seperti air tawar yang telah lama bertakung, tetapi tidak berbau sehingga boleh diminum. Setelah kawasan ini dijadikan padang golf, sebuah binaan batu telah didirikan mengelilingi perigi tempayan ini sehingga menghilangkan rupabentuk asalnya. Kononnya, ada pengunjung yang berjaya mendapat harta peninggalan nenek itu seperti barang kemas, syiling lama dan sebagainya ketika menyelukkan tangan ke dalam perigi itu. Bagaimanapun, hanya mereka yang ‘bernasib baik’ sahaja yang akan memperolehinya. Sejauhmanakah kebenarannya, wallahu’alam kerana saya sendiri tidak mencubanya. |